Buku 03: Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri; Za'ba




Perihal Buku...
Buku ini didahului dengan ulasan pengenalan oleh Asmah Haji Omar. Perkara utama di dalam bab pengenalan ini adalah penerangan mengenai tema utama penulisan Za'ba iaitu menegur dan mencadangkan dengan pemikirannya bagaimana untuk mengikis sifat-sifat negatif bangsa Melayu. Semua itu adalah usaha pendeta Za'ba untuk meninggikan darjat orang Melayu (yang majoritinya beragama Islam) dari semua segi; kesantunan bahasa, kefahaman tentang Islam serta kekuatan ekonomi.

Buku karangan Za'ba ini menyentuh tentang betapa perlunya orang Melayu mengubah sikap mereka yang suka bergantung pada orang lain di dalam banyak perkara. Sikap tidak mahu berusaha di sentuh dengan panjang lebar dan ianya dikaitkan dengan kurangnya kefahaman Islam di kalangan orang Melayu. Semua ini menurut Asmah Haji Omar ditulis oleh Za'ba berdasarkan pemerhatian beliau dan juga berdasarkan pengalaman seharian.

Apa yang menarik mengikut pandangan Cikgusir...
Cikgusir teruja dengan satu istilah yang digunakan oleh pendeta Za'ba yang menegur sikap orang Melayu yang tidak mahu berfikir dan suka menelan bulat-bulat apa jua maklumat dan ilmu yang diperoleh. Keadaan atau sikap ini ditegur Za'ba dengan istilah 'BERTAKLID BUTA'.

Di dalam istilah ini Za'ba memberi contoh di dalam 2 situasi iaitu di dalam ilmu agama dan juga di dalam dunia akademik. Di dalam menuntut ilmu agama orang Melayu ditegur kerana sikap yang tidak mahu menggunakan akal di dalam menganalisa ilmu yang diperoleh. Semua diterima bulat-bulat yang mana ini menjadikan mereka mudah ditipu dan diperdaya oleh ajaran-ajaran sesat serta ilmu agama yang mana sesetengan apa yang dipelajari itu tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun hadith bahkan ada yang bertentangan dengan keduanya. 

Manakala di dalam bidang akademik pula, keadaan di universiti-universiti dijadikan contoh. Ketika sesuatu tesis ditulis, ianya ditulis berdasarkan teori-teori yang digunakan sahaja tanpa ada penambahan, pindaan mahupun pembaharuan terhadap teori-teori tersebut. Akhirnya tinggal teori-teori itu tanpa dicabar mahupun ditambah baik. Jadi menurut beliau tiada proses penurunan ilmu berlaku dari guru kepada murid. Menurut Za'ba beliau sendiri tidak kisah pemikiran beliau dicabar sebagai satu proses perkembangan ilmu.

Za'ba mencadangkan penyelesaian kepada sikap itu dengan mengemukakan apa yang dinamakan 'BERIJTIHAD SENDIRI'. Ini bermaksud menggunakan kemahiran berfikir seperti yang telah dianjurkan di dalam al-Quran yang mana menurut beliau terdapat banyak gesaan-gesaan agar manusia menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir.

Petikan-petikan yang menarik...

Orang-orang kita banyak benar yang lemah pada mengerjakan amal ibadat, iaitu usaha-usaha yang merupakan ketaatan dan kehambaan kepada Tuhan dengan memperbuatkannya sendiri sebagai mana yang disuruh di dalam agama Islam. Bahkan, tidak sedikit mereka yang cenderung berharap kepada pertolongan orang lain sahaja, seperti berharap kepada doa tok-tok lebai, tok-tok guru dan tok-tok alim, atau berharap kepada sedekah tahlil mereka itu dan sebagainya, apabila telah masuk ke dalam alam arwah (sudah mati) kelak. Maka terutama sekali mereka berperasaan demikian jika mereka orang yang jahil pekat dalam agama atau orang yang mampu membayar atau mengupah!... (ms, 58)

Dengan dorongan perasaan bergantung kepada diri sendiri seseorang akan merasa wajib membuat sendiri apa-apa kewajipannya, dan tidak berharap kepada orang lain. Ia akan tetap bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri sahaja dan hanya memohon taufiq dan pertolongan kepada Tuhan Yang Esa tiada lainnya. Bidalan Melayu pun ada berkata, dan ia patut jadi pedoman kepada kita dalam hal ini, iaitu kata orang tua-tua:

"Berharap kepada anak, buta mata sebelah; berharap kepada orang, buta mata keduanya"

Yakni pada apa-apa hal pun baiklah buat sendiri. (ms, 6)
---
Ulasan buku akan datang...


---



Ulasan

  1. Salam Cikgu, kat mana saya nak dapatkan buku ni. Puas saya mencari sana-sini, tak ada.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikummussalam...
      Saya beli buku ini dari satu kedai yang bernama 'Pekan Buku' kalau saya tak silap. Di Tanjung Malim, Perak. Tapi kedai ni dah tutup. Cuba cari di Dewan Bahasa dan Pustaka.

      Padam

Catat Ulasan

Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Selingkar Kisah...Antara Shakespeare & Ahmad Jais