FPK



Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepadaTuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Pengikut

Jumlah Pengunjung Sejak 2005

Rabu, Ogos 14, 2013

Bila Lensa Bicara: Sketsa Raya


Den tak kigho den nak jugak kueh samprit tu... Cubo koba  an mano kau lotak kueh tu...




Buek bodoh pulak... nanti la den kobaan kek Tok Pengulu tau la kau

Isnin, Ogos 12, 2013

Bersediakah? Jangan risau PTPTN kan adoo..


Ada seorang kawan pernah beritahu Cikgusir, kalau nak belajar berenang mestilah masuk ke dalam air. Kalau tidak sampai bila-bila pun tak akan pandai berenang. Maka dengan itu Cikgusir dah letakkan hujung kaki sebelah pada gigi air. Harap-harap berjayalah hendaknya.  Amin.

Benda ni kalau tak sendiri mulakan mana nak gerak ye tak... teringat pada satu syair Arab dalam buku karangan Za'ba yang berbunyi...

Tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu
Sama seperti kuku tanganmu sendiri;
Sebab itu buatlah olehmu sendiri
Segala kerja tanggungan dirimu.

Maka tanamkan dalam diri... TIADA MASA LAGI UNTUK BERMAIN-MAIN... MASA UNTUK SERIUS! (Serius ke.. he he)

Sabtu, Ogos 10, 2013

Melawat Melaka 02: Kemusnahan A'Famosa akibat 'VANDALISM' Inggeris.

A'Famosa atau Porta De Santiago?

Tinggalkan dahulu kisah Sultan Hussein Shah Sultan Singapura yang mana riwayat hidup baginda penuh ranjau diperdaya Inggeris. Cikgusir teruskan mencatat tentang suatu struktur yang ada dicatatkan di dalam 'Hikayat Abdullah'

Gambar di atas adalah 'Porta de Santiago' iaitu salah satu pintu gerbang Kota Melaka atau di dalam bahasa Portugisnya disebut A'Famosa; bermaksud "Yang Masyhur". Namun kini setelah dimusnahkan Inggeris dengan susah payah, hanya cebisan di atas sahaja yang tinggal. Cebisan gerbang kota itulah yang sering dianggap sebagai A'Famosa. Sedangkan A'Famosa yang sebenarnya amatlah luas mengelilingi bandar Melaka.

Pelan Kota Melaka 1744



Di dalam 'Hikayat Abdullah' Bab V, dicatatkan tajuk 'Darihal Kota Melaka'. Di dalam bab ini Abdullah menyatakan kekesalan beliau atas tindakan pemerintah Inggeris ketika itu yang tidak pandai menghargai nilai sejarah sesuatu senibina itu.

"Adapun, seri negeri Melaka itulah kota itu. Maka apabila sudah pecah kota itu, maka negeri Melaka pun tiada berseri lagi, umpama seorang perempuan yang kematian suaminya, tiadalah berseri mukanya. Akan tetapi, sudahlah dengan takdir Allah. Itulah alamat dunia ini tiada kekal, yang ada ditidakkan dan yang tidak diadakan; berubah-ubah, adanya."

Dicatatkan juga bahawa serpihan-serpihan batu Kota Melaka yang dimusnahkan itu dibawa orang ke merata-rata tempat seperti dijadikan rumah-rumah, di bawa ke Riau dan lain-lain tempat. Catatan Munsyi Abdullah mengenai Kota Melaka/A'Famosa ini menunjukkan beliau hidup pada era ianya masih tersergam megah. Beliau juga telah menyaksikan bagaimana ianya dimusnahkan oleh Inggeris yang mengambil-alih bandar ini. Diceritakan juga bahawa yang mengarahkan projek memusnahkan A'Famosa ini adalah "Raja Farquhar".

Cebisan-cebisan A'Famosa:

Menelusuri tebing sungai Melaka membawa Cikgusir kepada pokok Melaka yang baru ditanam di tebing Sungai Melaka bersebelahan dengan runtuhan BASTION VICTORIA. Apakah itu Bastion Victoria? Ianya adalah sebahagian Kota Melaka atau A'Famosa yang telah diruntuhkan oleh pihak Inggeris. Kedudukannya pada ketika ini adalah bertentangan dengan Gereja St. Francis Xavier.

Pohon Melaka

SEJARAH BASTION VICTORIA (Tembok Kota Melaka Sektor IV)

Bastion Victoria mendapat namanya pada 7 November 1641 ketika era Belanda. Nama asalnya yang diberikan Portugis adalah St. Domingo.

Ianya berfungsi sebagai sebuah kubu pertahanan yang penting bagi Kota Melaka pada era Portugis dan Belanda untuk menahan serangan dari arah utara dan timur.

Pada 14 Januari 1641, Belanda berjaya menceroboh masuk dan menawan kota Melaka melalui bahagian belakang kota dengan menghancurkan kubu St. Domingo (Bastion Victoria).

Disebabkan pencerobohan itu Kota Melaka dan Bastion Victoria mendapat kemusnahan yang teruk. Dengan sebab itu Belanda kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembaikan dan kemudian memperbesarkan lagi Bastion Victoria.

Sebagai tambahan 'moat' juga digali bermula dari sungai di bahagian sebelah darat kota hingga ke laut. Kemudian, sebuah kubu pertahanan yang berbentuk tiga segi yang dipanggil Ravelin telah dibina di sebelah luar Bastion Victoria untuk memperkuat pertahanan di sebelah utara dan timur.

Namun pada tahun 1807, Kota Melaka termasuklah Bastion Victoria telah dimusnahkan oleh Inggeris.


KERJA PENYELIDIKAN ARKEOLOGI
Kerja-kerja penyelidikan bahagian tembok ini telah dimulakan pada 1 Ogos 2012 sehingga 16 September 2012. Pada mulanya telah ditemui struktur bangunan kedai MARA yang dibina pada tahun 1967. Setelah itu barulah ditemui kesan struktur Bastion Victoria pada kedalaman 1.4-2.0 meter.

Kawasan tapak carigali Bastion Victoria.

Melalui rekod Portugis (pelan 1588) dan Belanda (1792), penyelidik berjaya menemui kedudukan dan jajaran tembok Bastion Victoria.

Hasil ekskavasi juga berjaya mendedahkan penggunaan ruang tanah dari pelbagai era di tempat yang sama. Era-era tersebut adalah:

1. Kesultanan Melayu Melaka - lapisan paling bawah
2. Portugis - lapisan paling bawah
3. Belanda - lapisan paling bawah
4. Inggeris - lapisan kedua
5. selepas kemerdekaan (selepas 1957) - Lapisan teratas

Antara artifak-artifak yang ditemui ketika kerja-kerja penyelidikan dilakukan adalah:

1. Peluru meriam seberat 15.8 kilogram
2. Pecahan seramik dari zaman Dinasti Ming dan Qing
3. Duit syiling Portugis dan Belanda.
4. 2 buah perigi lama (zaman Portugis dan Belanda)


----

Jadi tahulah kita bahawa ada kemungkinan banyak lagi artifak-artifak dan rahsia-rahsia lama Melaka yang masih tersimpan kukuh di dalam perut bumi Melaka. Bumi yang bertuah ini dahulunya tempat tumpuan dagang dan santeri. Buku-buku lama seperti "Hikayat Abdullah" merupakan rujukan yang berguna untuk kita merungkai nilai-nilai sejarah yang ada. Bagi Cikgusir rombongan sehari ke Melaka belum cukup untuk kita mengenal banyak perkara mengenai bumi bertuah ini. Andai ada peluang, cubalah memahami sejarah melalui catatan-catatan yang ada di sini samaada dalam bentuk monumen, artifak mahupun manuskrip-manuskrip lama.

Ahad, Ogos 04, 2013

Sajak: Seruan Pertama Itu

Aku kembali membaca Ayat pertama itu
Diturunkan dengan memaksa untuk membaca
Ku fahami denyut nadi Sang Utusan Terpilih itu
Kaku... tiada mengerti... apa yang harus dibacanya
Di dalam dakapan makhluk asalnya cahaya
Satu dakapan di dalam seruan

Ku mengerti akan suasana itu...
Hening... Dinginnya keringat...
Apa yang harus dibaca...?


Bacalah... 

Bagaimana harus ku baca?
...dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.

Siapakah Dia?
Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.

Apa lagi seruan Mu?
Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia.

Siapakah Dia?
Yang mengajar (manusia) dengan pena.

Apakah yang diajarnya?
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.


Lalu ku mengerti
Membaca itu kunci ruangnya ilmu
Banyak yang harus ku bongkar
Ku mohon 
Moga diri dipandukan
Melalui jalan yang lurus
Bukan jalan yang menyesatkan


(Sajak yang terinspirasi dari Surah al-'Alaq | 04 Ogos )