FPK



Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepadaTuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Pengikut

Jumlah Pengunjung Sejak 2005

Ahad, Mac 31, 2013

Melawat Melaka 01: Masjid Tengkera dan Almarhum Sultan Hussin Shah.

Menara Masjid Tengkera
MAKLUMAT RINGKAS...
Berdasarkan catatan pada gerbang masjid, masjid ini pertama kali dibina pada tahun 1728. Kemudian dikatakan berlaku kerosakan yang besar sehingga hanya tinggal menaranya sahaja seperti yang terdapat di dalam gambar di atas. Ia kembali dibina pada tahun 1780. Berdasarkan tarikh ini ianya dianggap sebagai masjid yang tertua di negeri Melaka.

Rekabentuk menaranya merupakan rekabentuk Pagoda China. Manakala binaan asal adalah daripada kayu, namun pada tahun 1890 ia dibina semula dengan bahan konkrit (The Encyclopedia of Malaysia: Architecture).

CATATAN MENURUT BUKU...
Buku KENANG-KENANGAN ABDULLAH MUNSYI telah memetik satu peristiwa di dalam Hikayat Abdullah iaitu peristiwa pengebumian Sultan Husin Syah yang mangkat pada tahun 1835; iaitu telah berlaku 178 tahun yang lampau. Mengikut catatan buku tersebut, ianya dilakukan dengan penuh istiadat di Raja; selayaknya untuk seorang Sultan. Pembesar-pembesar Inggeris turut hadir di dalam upacara tersebut, termasuklah Residen Melaka pada ketika itu - Samuel Garling. 

Lukisan dipetik dari buku PRINCE OF PIRATES (Carl A.Trocki) yang memaparkan wajah Sultan Hussin Syah (Tengku Long)


Makam Almarhum Sultan Hussin Syah, Sultan Singapura.

Jenazah baginda dikebumikan bersebelahan dengan Masjid Tengkera, di tanah kebun seorang kaya yang bernama TAMBI AHMAD SAHIH, ayah kepada Abdul Kadir (yang bergelar Tengku Muda). Dinyatakan juga di dalam catatan buku tersebut bacaan talkin telah dilakukan oleh "Khatib Mahmud bin Khatib Musa, iaitu sebelah pihak Keling Islam" ** 

Ketika jenazah baginda dibawa dari kediaman baginda, 59 das tembakan meriam di Bukit St. Paul telah dilepaskan mengikut bilangan umur baginda. 

Petikan catatan di dalam Buku HIKAYAT ABDULLAH adalah seperti berikut...

"Maka indah rupa usungan Raja di Raja, diperbuat daripada kayu dan papan kemudian disalutnya dengan kain kuning sekaliannya berkeliling, serta dengan bau-bauan dan bunga adanya... adalah pada empat penjuru usungan itu empat orang berdiri memegang ceper yang berisi bunga rampai yang dicampurkan dengan mas dan perak yang digunting halus-halus serta dengan beras kunyit.

Maka sambil berjalan sambil disiramnya (ditaburkan mas dan perak itu). Maka riuhlah bunyi orng merebut mas perak itu... orang serba bangsa pun beribu-ribu orang... yang mengangkat jenazah itu delapan puluh orang... jenazah itu berpayung kuning."

Begitulah sedikit catatan yang dipetik dari BUKU HIKAYAT ABDULLAH. Namun tahukah kita siapakah Sultan Hussin Syah? Di manakah tercatatnya baginda di dalam garis masa sejarah? NANTIKAN DI DALAM CATATAN SETERUSNYA...


---


**(perlu diingatkan bahawa istilah Keling banyak digunakan di dalam HIKAYAT ABDULLAH terutama sekali ketika merujuk kepada kaum yang telah datang dan tinggal di bandar Melaka dari wilayah-wilayah di benua kecil India, samaada yang beragama Islam atau Hindu; yang mana ketika itu istilah India belum digunapakai dan negara India belum terbentuk. Istilah itu sememangnya digunapakai dalam Bahasa Melayu tanpa sebarang maksud yang negatif).

Buku 06: Kenang-kenangan Abdullah Munsyi (berserta lawatan)

ULASAN BUKU DAN KUNJUNGAN  KE MELAKA
Ulasan buku kali ini Cikgusir buat secara catatan 'field-study' dengan mengikut serta merujuk beberapa bahagian di dalam buku KENANG-KENANGAN ABDULLAH MUNSYI. Atas sebab itu Melaka adalah destinasi yang ditujui tambahan pula cuti sekolah sudah bermula. Dalam banyak-banyak tempat memang Cikgusir suka pergi ke Melaka. Tidak berapa pasti mengapa ia destinasi pilihan. Mungkin sejarahnya yang mencoret banyak peristiwa-peristiwa silam yang bercampur-baur kerana setiap peristiwa yang berlaku itu kini mengalir kekal di dalam garis masa serta meninggalkan kesan-kesan yang masih jelas hingga sekarang. Walaupun tempat-tempat utama seperti kawasan Banda Hilir telah banyak kali dilawati, namun Cikgusir rasa masih banyak lagi rahsia yang tersimpan yang masih belum diteroka.

Porta Da Santiago, sebahagian tinggalan kota mahsyur A'Famosa.

MELAKA DAN HOBI...
Apabila berkunjung ke Melaka, tempat yang pertama dikunjungi adalah Muzium Setem Melaka. Tujuannya tentu sekali untuk melihat-lihat koleksi terkini setem-setem unik dan 'rare' atau mungkin kalau ada yang berkenan di hati, Cikgusir akan membeli beberapa koleksi Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover) yang menarik dan berinformasi.

Muzium Setem Melaka


Suatu ketika didiami pegawai-pegawai atau pembesar-pembesar Belanda di Melaka.

Selain dari tujuan di atas, Cikgusir suka melihat rekabentuk bangunan ini. Walaupun kalau dilihat dari segi luaran agak sedikit tidak kemas susunan batu batanya, namun rekabentuk dalaman dan luarannya yang mempunyai anjung agak menarik hati. Asalnya bangunan ini adalah kediaman pegawai-pegawai atasan imperialis Belanda. Kemudian ia bertukar tangan kepada imperialis Inggeris; masih digunakan sehinggalah ianya bertukar fungsi sebagai 'Sekolah Gambar' dan kemudiannya menjadi sebuah muzium oleh G.E Wisdom iaitu Pesuruhjaya Residen Melaka pada tahun 1954. Selepas merdeka, bangunan ini kemudiannya diwartakan sebagai monumen lama mengikut Seksyen 15 Akta Benda purba 168/1976 (See... tahun gua lahir tu... :P).... 

Walaupun sudah banyak kali menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian, namun pada kali ini Cikgusir melawat Melaka untuk melihat sendiri tempat-tempat seperti yang tercatat di dalam buku seperti di bawah.

Buku tersebut berjudul, "KENANG-KENANGAN ABDULLAH MUNSYI" ditulis oleh ZAHARI A. RASHID. Buku ini menggunakan buku "HIKAYAT ABDULLAH" sebagai sandaran bagi menelusuri semula tempat-tempat yang telah dicatatkan di dalam buku karangan ABDULLAH MUNSYI tersebut. Setelah membaca buku ini, timbul hasrat untuk melihat sendiri dan mengunjungi tempat-tempat yang telah menyaksikan beberapa peristiwa hebat, tempat tercetusnya konflik dan pelbagai lagi tempat yang padanya tercoret kisah sejarah yang bernilai.

Oleh yang demikian, destinasi pertama kali ini adalah Masjid Tengkera... (baca di dalam catatan yang seterusnya...)

Tajuk buku: Kenang-kenangan Abdullah Munsyi, Oleh Zahari A.RAshid

----
Buku seterusnya