Melawat Melaka 01: Masjid Tengkera dan Almarhum Sultan Hussin Shah.

Menara Masjid Tengkera
MAKLUMAT RINGKAS...
Berdasarkan catatan pada gerbang masjid, masjid ini pertama kali dibina pada tahun 1728. Kemudian dikatakan berlaku kerosakan yang besar sehingga hanya tinggal menaranya sahaja seperti yang terdapat di dalam gambar di atas. Ia kembali dibina pada tahun 1780. Berdasarkan tarikh ini ianya dianggap sebagai masjid yang tertua di negeri Melaka.

Rekabentuk menaranya merupakan rekabentuk Pagoda China. Manakala binaan asal adalah daripada kayu, namun pada tahun 1890 ia dibina semula dengan bahan konkrit (The Encyclopedia of Malaysia: Architecture).

CATATAN MENURUT BUKU...
Buku KENANG-KENANGAN ABDULLAH MUNSYI telah memetik satu peristiwa di dalam Hikayat Abdullah iaitu peristiwa pengebumian Sultan Husin Syah yang mangkat pada tahun 1835; iaitu telah berlaku 178 tahun yang lampau. Mengikut catatan buku tersebut, ianya dilakukan dengan penuh istiadat di Raja; selayaknya untuk seorang Sultan. Pembesar-pembesar Inggeris turut hadir di dalam upacara tersebut, termasuklah Residen Melaka pada ketika itu - Samuel Garling. 

Lukisan dipetik dari buku PRINCE OF PIRATES (Carl A.Trocki) yang memaparkan wajah Sultan Hussin Syah (Tengku Long)


Makam Almarhum Sultan Hussin Syah, Sultan Singapura.

Jenazah baginda dikebumikan bersebelahan dengan Masjid Tengkera, di tanah kebun seorang kaya yang bernama TAMBI AHMAD SAHIH, ayah kepada Abdul Kadir (yang bergelar Tengku Muda). Dinyatakan juga di dalam catatan buku tersebut bacaan talkin telah dilakukan oleh "Khatib Mahmud bin Khatib Musa, iaitu sebelah pihak Keling Islam" ** 

Ketika jenazah baginda dibawa dari kediaman baginda, 59 das tembakan meriam di Bukit St. Paul telah dilepaskan mengikut bilangan umur baginda. 

Petikan catatan di dalam Buku HIKAYAT ABDULLAH adalah seperti berikut...

"Maka indah rupa usungan Raja di Raja, diperbuat daripada kayu dan papan kemudian disalutnya dengan kain kuning sekaliannya berkeliling, serta dengan bau-bauan dan bunga adanya... adalah pada empat penjuru usungan itu empat orang berdiri memegang ceper yang berisi bunga rampai yang dicampurkan dengan mas dan perak yang digunting halus-halus serta dengan beras kunyit.

Maka sambil berjalan sambil disiramnya (ditaburkan mas dan perak itu). Maka riuhlah bunyi orng merebut mas perak itu... orang serba bangsa pun beribu-ribu orang... yang mengangkat jenazah itu delapan puluh orang... jenazah itu berpayung kuning."

Begitulah sedikit catatan yang dipetik dari BUKU HIKAYAT ABDULLAH. Namun tahukah kita siapakah Sultan Hussin Syah? Di manakah tercatatnya baginda di dalam garis masa sejarah? NANTIKAN DI DALAM CATATAN SETERUSNYA...


---


**(perlu diingatkan bahawa istilah Keling banyak digunakan di dalam HIKAYAT ABDULLAH terutama sekali ketika merujuk kepada kaum yang telah datang dan tinggal di bandar Melaka dari wilayah-wilayah di benua kecil India, samaada yang beragama Islam atau Hindu; yang mana ketika itu istilah India belum digunapakai dan negara India belum terbentuk. Istilah itu sememangnya digunapakai dalam Bahasa Melayu tanpa sebarang maksud yang negatif).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Selingkar Kisah...Antara Shakespeare & Ahmad Jais