Merentas Denai Masa: Makam Laksamana Bentan

Catatan ini merupakan sambungan siri catatan 'Merentas Denai Masa' yang memaparkan perjalanan singgah di tempat-tempat bersejarah di Kota Tinggi pada tahun 2012. Selepas catatan kedua iaitu 'MERENTAS DENAI MASA: KOTA JOHOR LAMA', Cikgusir dilanda kesibukan yang membataskan masa untuk mencatat perihal tempat-tempat yang seterusnya. Hari ini ada sedikit waktu untuk Cikgusir kembali menulis berkenaan tempat yang seterusnya bertempat di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.

SEPINTAS LALU...


Gambar: Lokasi berlaku kisah tragis pembunuhan Sultan Mahmud II oleh pembesar baginda yang bergelar Laksamana Bentan.

Di sinilah pada tahun 1699 berlaku satu tragedi yang memutuskan jalur terakhir zuriat Kesultanan Melayu Melaka dan menyaksikan Bendahara naik menjadi Sultan mengikut hukum dan adat Melayu. Mangkatnya Sultan Mahmud II di tangan Laksamana Megat Seri Rama (atau juga dikenali sebagai Laksamana Bentan) tanpa meninggalkan zuriat telah menyebabkan Bendahara Tun Habab Padang Saujana menaiki takhta kerajaan Johor Lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (dari sinilah juga zuriat berkembang dan menjadi punca susur galur Kesultanan Terengganu sekarang ini).

Mengikut catatan lama, Laksamana Bentan merupakan orang besar kerajaan Johor yang telah banyak berjasa di dalam memerangi lanun-lanun sehinggakan beliau disayangi oleh Sultan. Akan tetapi atas tindakan yang disifatkan zalim, Sultan Mahmud II telah menghukum isteri Laksamana Bentan dengan membelah perutnya atas hukuman memakan seulas nangka kepunyaan Sultan. Berkecil hati dengan  tindakan Sultan yang disifatkan tidak mengenang budi, Laksamana membuat keputusan untuk menderhaka sekembalinya beliau dari selesai melunaskan amanah negara.

Pada satu hari Jumaat beliau telah menahan Sultan dan menikam baginda yang sedang duduk di atas julangan di hadapan masjid untuk menunaikan fardhu Jumaat. Setelah ditikam baginda sempat juga melemparkan keris pada Laksamana dan menyatakan sumpah bahawa semua keturunan Bentan akan muntah darah apabila menjejakkan kaki ke Kota Tinggi selama tujuh keturunan. Dengan kematian kedua-dua tokoh ini, denai masa sejarah politik orang Melayu telah menyaksikan banyak konflik yang berterusan sehingga luputnya empayar Johor lama yang berkesinambungan dari empayar Kesultanan Melayu Melaka hilang di dalam lipatan sejarah.


LOKASI: KAMPUNG KELANTAN, KOTA TINGGI, JOHOR.


Gambar dari Google Maps di atas menunjukkan lokasi makam bagi kedua-dua tokoh tersebut. Bulatan merah adalah makam Laksamana Bentan di Kg. Kelantan, Kota Tinggi manakala bulatan kuning adalah makam Sultan Mahmud II di Kg. Makam, Kota Tinggi.


Inskripsi pada batu tanda ini tertulis...

"Dipercayai bahawa di sinilah disemadikan Laksamana Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan Melayu yang terbilang dan isterinya Dang Anum pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II yang memerintah jajahan takluk Johor (TM 1685-1699). Laksamana Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud dalam perjalanan menuju ke masjid menunaikan solat Jumaat. Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan sultan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri dari serangan musuh, tanpa usul periksa kerana memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja. Namun demikian Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan bersumpah, "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi, selama tujuh keturunan." Peristiwa ini terkenal dengan "Sultan Mahmud mangkat dijulang".
Susunan batu bata bersaiz besar yang digunakan untuk membina tembok makam ini dipercayai sebuah kota pertahanan pada zaman kesultanan Melayu silam. Kedudukannya di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirehat dan meninjau kedatangan musuh.
Kerja-kerja dan pemuliharaan kota dan makam ini telah dilakukan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada tahun 1996."



Tebing Sungai Johor  di dalam daerah Kota Tinggi, di mana terletaknya Makam Laksamana Bentan


Bangunan kompleks Makam Laksamana Bentan


Batu nesan makam Laksamana Bentan


Dikatakan ini adalah makam isteri Laksamana Bentan, Dang Anum


Begitulah sedikit coretan singgah ziarah Cikgusir di kompleks makam Laksamana Bentan.

"Laksamana Bentan datang menyembah,
Merendah diri walaupun gagah
Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah"


Video memaparkan Laksamana Bentan (Lakonan Nordin Ahmad) merancang untuk menderhaka dengan memujuk Bendahara Tun Habib Abdul Jalil (Lakonan Sharif Medan) untuk melakukan perkara yang sama. Kisah di dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang ini terhenti pada saat kedua-dua laksamana dan Sultan meninggal dunia. Kerajaan Johor Lama seterusnya berajakan Bendahara Tun Habib Abdul Jalil dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699-1718).

(Bersambung dengan catatan seterusnya: Merentas Denai Masa: Makam Tun Habab Padang Saujana)



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Selingkar Kisah...Antara Shakespeare & Ahmad Jais