Buku 08: CEMPAKA SARI Sejarah Kesultanan Negeri Perak

Tak dapat dinafikan Perak adalah di antara dua atau tiga buah negeri Semenanjung yang paling terkemuka dalam sejarah Malaysia. Selain daripada Kedah, Perak adalah negeri yang tertua; kesultanan Perak dipercayai telah diasaskan pada tahun 1528. (Khoo Kay Kim, 1986)


Memetik kata-kata Prof. Khoo Kay Kim di atas, Cikgusir pada kali ini berkongsi satu lagi buku yang dibeli ketika melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak pada beberapa tahun yang lepas. Buku karangan M.A FAWZI BASRI ini diterbitkan pada tahun 1986. Seperti yang dikatakan oleh Prof Khoo Kay Kim, sejarah Perak ini tidak dapat tidak harus kita ketahui kerana ia merupakan antara negeri yang tertua di dalam persekutuan Malaysia.

Kulit Buku
Buku ini menyentuh banyak hal sedari awalnya sejarah negeri Perak iaitu yang bersandarkan bukti-bukti arkeologi bertarikh 8000 tahun SM sehinggalah kepada kewujudan Kesultanan Perak abad ke-20.

Jikalau dilihat pada keadaan buku ini, Cikgusir rasa ianya sudah lama terperam di kaunter Kompleks Sejarah Pasir Salak tu. Apabila Cikgusir belek isi kandungannya sepintas lalu, tertariklah hati ini untuk membelinya. Lusuhnya keadaan buku ini bukanlah gambaran nilai catatan sejarah di dalamnya yang bersumberkan fakta dan kajian yang mendalam.

Antara gambar yang ada: Sultan Iskandar Shah (1918-1938)
ANTARA YANG MENARIK:

1. MEWARISI SISTEM PEMBESAR KESULTANAN MELAYU MELAKA.
Antara isi kandungan yang menarik untuk diketahui adalah Pembesar Negeri dalam konteks Sistem Politik Perak. Susunan pembesar-pembesar bergelar Negeri Perak adalah mematuhi tradisi yang dibawa oleh Sultan pertama negeri ini yang berketurunan dari Sultan Melaka yang menyaksikan penggunaan SISTEM PEMBESAR EMPAT LIPATAN. Apabila dibaca bab perihal pembesar-pembesar negeri ini, dapat kita lihat banyak nama-nama gelaran yang unik bagi pembesar-pembesar yang mengikut "ranking" seperti di bawah:


  1. Orang Besar Empat (Maksudnya ada 4 orang pembesar yang bergelar)
  2. Orang Besar Lapan (di sini letaknya kedudukan gelaran pembesar yang terkenal di dalam buku sejarah di sekolah iaitu DATUK MAHARAJA LELA)
  3. Orang Besar Enam Belas
  4. Orang Besar Tiga Puluh Dua (dalam banyak-banyak gelaran bagi bahagian ini Cikgusir tertarik dengan nama gelaran TOH TAN DEWA SAKTI)
Daripada huraian dan keterangan yang diberikan secara terperinci di dalam buku ini, penulis memberi satu kesimpulan bahawa negeri Perak merupakan salah sebuah negeri Melayu yang banyak mempunyai pembesar.

2. SISTEM WARIS NEGERI DAN PERLANTIKAN SULTAN
Susun atur melantik raja pemerintah negeri juga adalah unik. Sultan-sultan tidak dilantik secara waris bapa kepada anak; tetapi dijalankan mengikut giliran. Dikatakan di dalam buku ini tujuan sistem ini dijalankan adalah bagi memberi peluang kepada keturunan Kerabat Kesultanan Melaka, Kerabat Acheh dan Kerabat Keturunan Bugis untuk sama-sama memerintah negeri. Keunikan ini boleh pembaca selidik dengan teliti di dalam BAB IX, SISTEM WARIS NEGERI DAN PERLANTIKAN SULTAN: ADAT DAN HAKIKAT.

Akhir sekali, Cikgusir tertarik dengan catatan di bahagian penutup buku ini. Di akhir bahagian penulisannya, penulis telah mencatatkan...

Kekekalan sistem beraja sehingga kini adalah atas kekukuhan tradisinya dan juga sokongan bulat orang Melayu yang terus menjunjung kedaulatan raja-raja. Walaupun bilangan negara yang mempunyai institusi beraja kian luput di seluruh dunia. Namun negara kita merupakan negara yang dikira banyak mempunyai institusi kerajaan beraja, kesemua ini berlaku atas kehendak rakyat dan tradisi yang sudah sebati dengan penduduk asal negara ini. Oleh kerana institusi raja itu rapat kaitannya dengan identiti orang Melayu, ianya membawa pengertian institusi raja akan timbul dan tenggelam bersama orang Melayu, namun seperti kata Hang Tuah "Tidakkan Melayu Hilang Di Dunia." Sebagai bangsa yang gagah di Nusantara di zaman pra penjajah, sudah pasti orang Melayu berserta budaya dan tradisinya tidak akan lagi merelakan diri dan keturunannya "berdagang dibuminya sendiri, pupusnya Orang Melayu dan Budaya Melayu bererti akan luputlah Institusi beraja, maka tinggallah sejarah Orang Melayu dan Rajanya untuk tuntunan pelancong dan pengkaji sejarah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kenapa sambung belajar?

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Selingkar Kisah...Antara Shakespeare & Ahmad Jais