KPLI strikes back!

GURU KPLI BUKAN GOLONGAN TERDESAK

SAYA terpanggil untuk membetulkan kenyataan yang kurang berasas ‘Teaching Angel’ pada 7 September lalu. Pada perenggan kelima, beliau menyatakan bahawa “golongan yang memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) adalah golongan yang yang gagal mencari pekerjaan dengan ijazah yang diperoleh dengan memilih profesion perguruan sebagai jalan terakhir”.

Kenyataan ini tidak berasas sama sekali kerana berdasarkan pengalaman saya sebagai penuntut KPLI tahun ini, rata-rata mereka yang berjaya ke KPLI adalah mereka yang sudah berpengalaman dalam dunia pekerjaan lebih tiga tahun.
Ada juga yang bergaji jauh lebih tinggi tetapi memohon sebagai guru di atas kesedaran untuk mendidik anak bangsa, memilih hidup yang lebih bermakna dan memberikan kepuasan dalam kehidupan.
Keinginan mendidik anak bangsa dan mencari kepuasan hidup pasti tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Pada perenggan keenam, beliau juga menyatakan “lulusan KPLI adalah mereka yang mempunyai ijazah dalam bidang tidak kritikal atau tidak memenuhi kehendak pekerjaan.” Perlu diketahui ramai yang memegang ijazah dalam bidang profesional seperti undang-undang, perakaunan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan lain-lain memohon sebagai guru sedangkan mereka ini berbanding pemegang ijazah lain tiada masalah untuk mendapatkan pekerjaan tetapi masih memilih menjadi guru.
Ini menunjukkan tidak wujud isu lulusan KPLI memohon menjadi guru kerana memiliki ijazah yang tidak memenuhi kehendak pekerjaan. Saya sendiri pemegang ijazah kejuruteraan dan sedang bekerja ketika memohon menjadi guru. Gaji saya menjadi guru lebih rendah berbanding pekerjaan dulu.
KPLI adalah sebuah kursus dan memiliki taraf pra-perkhidmatan. Mereka yang dipilih sebagai pelatih KPLI adalah mereka yang berperibadi dan personaliti sesuai untuk menjadi guru dan mempunyai kelebihan dalam bidang sukan, kepemimpinan, seni dan lain-lain.
Ujian kelayakan bagi guru iaitu ‘Mtest’ dan temu duga khas medan terpenting mencari bakal guru lepasan ijazah yang betul-betul jujur, ikhlas dan ‘multitalented’ yang ingin menjadi guru dan bukannya golongan terdesak yang tiada pekerjaan.
KPLI bukan tempat golongan terdesak. Elaun RM1,200 sebulan selama 11 bulan sepanjang kursus yang dibayar kepada peserta KPLI sangat kecil berbanding pengorbanan mendapatkan segulung ijazah, pengorbanan meninggalkan profesion yang memberikan pendapatan lebih lumayan daripada guru di atas kesedaran menjadi pendidik sejati.
Selain itu, beban silibus KPLI bersamaan kursus tiga tahun yang dipadatkan kepada kursus setahun. Beban dialami ini tidak padan dengan elaun RM1,200, namun kami warga KPLI tidak pernah merungut apa lagi membuat kenyataan dalam surat khabar! Kami sedar ini adalah pilihan kami, tidak ada sesiapa memaksa kami memilih KPLI.
Istilah kabel dalam mendapatkan KPLI adalah kes terpencil. Yang penting tepuk dada, tanya selera dan teruskan usaha memajukan diri. Jangan asyik mencari kelemahan orang lain, tetapi carilah kelemahan diri yang perlu dimajukan supaya anda layak dipilih sebagai guru yang ikhlas dan jujur untuk mendidik anak bangsa.

SUARA KPLI 2005,
Maktab Perguruan Kota Bharu,
Kelantan.

Source: Berita Harian/12Sept.2005/Surat dan Emel

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Surat/20050911232603/Article/

*** This is a feedback for the previous post in Berita Harian (GURU HADAPI DUGAAN LANJUT PELAJARAN)below. Therefore it is on our hand to evaluate both comments.

Pandangan saya:

Walauapapun sumber pendidikan kita, walau darimana asal kita setelah bergelar seorang guru seharusnya tugas mendidik itulah keutamaan kita. Mendidik adalah lebih sukar dari mengajar. Dengan mendidik, kita sedaya upaya menjadikan seseorang insan itu mempunyai kualiti terbaik bagi seorang manusia atau apa yang saya gelar memanusiakan manusia. Berbeza dengan mengajar di mana proses ini suatu proses memberikan ilmu yang diperlukan oleh seseorang insan. Ilmu yang menjadi bekalan mengharungi hidup di hari muka.Tanamkanlah di dalam jiwa kita sebagai seorang pendidik rangkap akhir di dalam lagu keramat profesion perguruan iaitu, "APA YANG KAMI JANJI TUNAI TETAP KAMI TUNAIKAN".

Pesanan: Jangan gaduh-gaduh ya cikgu. Kalau bukan kita yang hendak memartabatkan profesion kita, siapa lagi.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Buku 08: CEMPAKA SARI Sejarah Kesultanan Negeri Perak