The Inevitable Reality

Below is a newspaper excerpt from:

Berita Harian:page 12, Sept 07,2005(Wed)-Surat & E-mel.

GURU HADAPI DUGAAN LANJUT PELAJARAN

Saya terpanggil untuk membalas komen yang ditulis 'Wheeping Devil' mengenai guru, yang pada pendapat saya tidak benar sama sekali. Beliau menulis mengenai guru yang kononnya terlalu manja dan suka merungut.

Selain itu, beliau juga mendakwa guru suka merintih dan lain-lain lagi. Saya adalah seorang guru yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah pertama dan diberi separuh gaji sepanjang tempoh belajar. Dengan gaji yang separuh itulah, kami perlu membayar ansuran kereta, sewa rumah dan pada tahun ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak lagi memberi pinjaman kerana peminjam sebelum ini gagal membayar balik pinjaman. Dengan perbelanjaan keluarga dan pengajian, kami terpaksa menebal muka meminjam daripada suami, isteri dan sanak saudara. Demi memajukan diri, kami teruskan juga.

Tetapi lain pula ceritanya bagi bakal guru yang melalui program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Golongan ini adalah yang gagal mencari pekerjaan dengan ijazah yang diperoleh dan mengambil jalan mudah, memilih profesion perguruan sebagai alternatif terakhir. Rata-rata lulusan KPLI adalah mereka yang mempunyai ijazah di bidang yang tidak kritikal atau tidak memenuhi kehendak pekerjaan. Selain itu, banyak juga yang hanya memperoleh ijazah yang kurang berkualiti seperti kelas kedua bawah atau ijazah am. Namun, atas dasar mereka ini berijazah, mereka mendapat elaun melebihi RM1,200 sebulan selama mengikuti program ini. Jumlah ini hampir menyamai gaji permulaan guru lepasan diploma. Tidak hairanlah lebih 70,000 permohonan yang diterima oleh Badan Pendidikan Guru (BPG) bagi program KPLI, walaupun untuk mengisi hanya sekitar 5,000 kekosongan.

Selain itu, BPG disaran menyiasat adakah peserta KPLI ini sudah menjelaskan pinjaman PTPTN mereka. Segala keperitan ini kami tabahkan juga demi memajukan diri dan memartabatkan profesion perguruan. Walaupun masih mengharapkan pinjaman BPG atau setidak-tidaknya bergaji penuh, kami ikhlas menyambung pelajaran supaya berjaya menjadi guru berijazah, bukannya menjadi guru kerana gagal mendapat pekerjaan walaupun memperoleh ijazah. Percayalah, guru bukanlah golongan yang suka merintih atau manja. Walaupun sering diherdik oleh ibu bapa apabila anak mereka ditangkap kerana membuli, disaman di mahkamah kerana mendenda anak mereka yang merokok, kami bersabar kerana menganggap guru ini satu kerjaya yang mulia. Produk yang kami hasilkan tidak dapat dinilai oleh penyelia kualiti seperti di kilang elektronik, tetapi hanya dapt dilihat selepas beberapa tahun.

Saya berharap komen saya ini difahami dan dihalusi oleh 'Wheeping Devil', juga pihak berkaitan seperti Kementerian Pelajaran, Bahagian Pendidikan Guru dan lain-lain. Bukan rintihan, hanya renungan untuk pembelaan.

TEACHING ANGEL, UPSI, Tanjung Malim.
_______________________________________________

p/s: Need your comment on this article.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Buku 08: CEMPAKA SARI Sejarah Kesultanan Negeri Perak