Merentas Denai Masa: Kota Johor Lama

Kota Johor Lama dari Google Earth
Perjalanan merentas denai masa Cikgusir merangkumi kawasan ini; Kota Johor Lama. Suatu tempat di Johor Lama yang berulangkali dijadikan ibu negeri dan pusat pentadbiran. Menurut catatan pada batu penerangan Muzium Kota Johor Lama, kota ini di bina pada tahun 1540 dan ianya menjadi pusat pemerintahan sekaligus tempat merancang strategi untuk merampas kembali Melaka selepas kejatuhannya pada tahun 1511.

Gerbang masuk ke Muzium Kota Johor Lama.

Buyong Adil (1971) ada mencatatkan dari sumber Portugis mengenai kota ini pada tahun 1587:

"Berkenaan dengan Johor Lama masa itu, dalam riwayat Portugis antara lain mengatakan: bandar Johor Lama itu ialah sebuah bandar yang cantik; terletak di atas sebuah bukit yang memanjang di tebing Sungai Johor; bandar itu berpagar sekeliling dengan kayu yang sangat kuat; tiada berapa jauh arah ke laut (ke hilir) daripada bandar itu, ada sebuah kota batu yang disebut namanya Cotabato (Kota Batu); kota itu kukuh dan hampir menyerupai kota batu orang Portugis di Melaka." (m/s.49)


Kedudukan Kota Johor Lama di tebing Sungai Johor. Sumber: Google Earth
Jikalau dilihat pada kedudukan kota ini di dalam peta di atas, dapat kita faham bahawa ianya dipilih menjadi pusat pemerintahan sebuah kerajaan disebabkan oleh keadaan semulajadinya yang strategik untuk memantau pergerakan keluar masuk kapal-kapal terutamanya bagi menangani ancaman Portugis dan Acheh.

Kesan benteng kota yang menghadap ke arah Sungai Johor
Sungai Johor yang berhadapan dengan Kota Johor Lama.
Ketika berdiri dari atas Kota Johor Lama ini menghadap ke arah Sungai Johor, Cikgusir dapat merasakan bahawa ianya memang dipilih atas sebab kedudukannya yang strategik. Terbayang-bayang juga kapal-kapal dagang berlabuh mahupun kapal-kapal perang Portugis yang membedil kota ini. Bagai mezahirkan semula kedudukan pantai Melaka jika kita lihat dari atas Bukit St. Paul (yang dahulunya Istana Sultan Melaka)

Dikatakan kesan tempat meletakkan meriam.
Dicatatkan oleh Buyong Adil (1971) mengenai keadaan bagaimana Kota Johor Lama ini dirancang untuk diserang Portugis pada 23 Julai 1587 yang mana pada ketika itu Johor adalah di bawah pemerintahan SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL SHAH (Raja Umar) (1570/71-1597):

Keputusan mesyuarat: Serangan mendarat ke Johor Lama dan Kota Batu itu akan dimulakan apabila angkatan Paulo de Lima Pereira dari Goa itu tiba ke negeri Johor, dan sementara menantikan itu mereka terus membedil dan menembak bandar Johor Lama dan kota batu dengan meriam dari kapal-kapal mereka yang sedang berlabuh di Sungai Johor itu. (m/s: 49)

dan pada tahun itu juga kota ini berjaya ditakluk dan keseluruhan kota ini dibakar serta segala harta dan senjata juga dirampas Portugis.

Muzium Kota Johor Lama yang penuh maklumat.
Senibina yang indah. Mungkinkah begini bentuknya rumah bendahara/Istana Sultan?
Benteng-benteng kota.
Renungan:
Membaca bagaimana bersusah payahnya waris-waris Kesultanan Melayu Melaka meneruskan kelansungan empayar gemilang itu menyerlahkan juga bagaimana kesungguhan pihak Portugis dan lain-lain kuasa kolonial untuk meranapkan sisa-sisa empayar ini. Kini, yang kita boleh lihat adalah tinggalan saksi-saksi bisu atas konflik yang berlaku di nusantara ini satu ketika dahulu. Saksi-saksi bisu ini mengajar kita tentang pentingnya harga diri, kesepakatan dan kepentingan ilmu untuk meneruskan kemegahan ketamadunan bangsa.


Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Bersambung.....

Ulasan

  1. Saksi-saksi bisu menjadi saksi bumi dipijak milik orang..

    BalasPadam
  2. salam. sy mula2 mengetahu ttg sejarah kerajaan johor lama semasa mp sejarah di darjah 6. lps tu terus minat nak belajar sejarah...

    P.S. saya dah tutup blog sedia ada n buka yg baru..ada masalah sikit..tp demi minat, blogging ku teruskan jua..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.

Catatan popular daripada blog ini

Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Kenapa sambung belajar?

Buku 08: CEMPAKA SARI Sejarah Kesultanan Negeri Perak