Bodohkah Si Pandir?
Di suatu pagi yang dingin. Hujan masih renyai bersama kabus menyelimuti persekitaran sebuah arena menuntut ilmu. Pagi itu setelah selesai satu ritual setiap pagi Jumaat bagi tujuan kerohanian, Sang Mahaguru itu mencapai pembesar suara untuk menyampaikan satu amanat.
(sebelum itu telah ada mukadimah yang diberikan... agak panjang mukadimahnya untuk dicatat diruangan ini)
Mahaguru:
Kamu semua kena ingat... peperiksaan itu penting. Kamu kenalah beri perhatian pada apa yang guru kamu ajar. Kalau tak lulus periksa, kamu jadi orang yang BODOH! Kamu mahu jadi orang yang BODOH? Tak lulus periksa tu BODOH lah namanya tu... (maka seterusnya berhamburanlah perkataan BODOH itu bagai butir peluru di medan sasar)
Cikgusir:
(Di dalam hati bagai ingin mencapai pembesar suara itu untuk dimatikan suisnya....)
----------
B.O.D.O.H - Biarlah menjadi lapuk di dalam kamus.
Sesungguhnya peristiwa ini mengingatkan diri Cikgusir sendiri agar tidak mudah melabelkan bodoh kepada anak-anak murid. Sepanjang menuntut ilmu perguruan, tidak pernah Cikgusir menemui perkataan itu di dalam buku-buku rujukan manapun.
Perlulah diingatkan pada diri ini juga agar sentiasa mempunyai tanggapan bahawa setiap insan di dalam kelas itu punya kecerdasan yang tersendiri. Cikgusir sebagai gurulah yang harus membimbing mereka mengenal potensi diri dan mencungkil kebijaksanaan yang ada di dalam diri mereka. Semenjak dari mula menuntut ilmu perguruan Cikgusir memang bersetuju dengan pandangan Howard Gardner yang percaya bahawa setiap individu mempunyai kepelbagaian kecerdasan (Multiple Intelligences).
Setiap murid yang gagal atau tidak cemerlang di dalam sesuatu mata pelajaran tidak bermakna mereka adalah BODOH sebagaimana tanggapan sesetengah orang termasuklah Sang Mahaguru itu. Perbuatan beliau pada tanggapan Cikgusir sebenarnya telah menunjukkan beliau seorang yang amat kurang membaca tentang teori-teori ilmu pendidikan. Amat malanglah sekiranya ini benar. Bimbang juga suatu hari nanti beliau dapat pula 'paku buah keras' dari mereka yang mendapat gelaran BODOH itu.
HAYATILAH NUKILAN DI BAWAH INI...
Ulasan
Catat Ulasan
Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.