Kebesaran Ilahi di dalam Ilmu Sastera.
MESEJ YANG DITURUNKAN:
Kembali lagi mengemaskini blog. Hari ini 17 Ramadan 1434. Beberapa negeri di Malaysia bercuti umum sempena cuti Nuzul al-Quran. Nuzul adalah perkataan Arab yang membawa maksud 'turun' maka hari yang disambut pada hari ini adalah sempena turunnya al-Quran. Tarikh turunnya al-Quran adalah pada 17 Ramadan (6 Ogos 610M). Ini membawa maksud usia al-Quran adalah lebih kurang 1403 tahun.
Wahyu yang pertama diturunkan adalah ayat di dalam Surah al-'Alaq iaitu satu mesej yang bermula dengan gesaan untuk membaca iaitu 'Iqra''. Turunnya ayat inilah memberi petanda bahawa dengan membaca manusia akan mengembangkan ilmu.
MESEJ YANG KEDUA: Indahnya 'runtun konsonan' dan 'palindrom'.
Di dalam mengimbau kembali sejarah turunnya wahyu kepada Nabi akhir zaman itu, Cikgusir kali ini terpesona dengan wahyu yang kedua. Seperti yang tercatat di dalam buku-buku sejarah, masyarakat Arab sebelum Islam merupakan masyarakat yang hidup di dalam kerosakan moral yang berat. Tetapi tidak dinafikan bahawa sebilangan mereka amat obses terhadap seni sastera yang mana mereka mahir bersajak bersyair dan berkhutbah.
Amatlah tepat apabila al-Quran yang diturunkan kepada mereka ini mempunyai nilai sastera yang amat tinggi yang mana ia tidak menyamai langsung genre sastera Arab yang ada pada ketika itu. Mereka yang memahami seni sastera Arab pada ketika itu mendapati ia bukanlah sejenis karangan manusia.
Wahyu yang ke-2 iaitu Surah al-Muddaththir, terdiri daripada 7 ayat dibentuk dengan runtun konsonan (alliteration) 'ro' (R). Apabila dibaca dengan bacaan yang betul memancarkan bunyi yang indah. Namun bukan itu sahaja... ada sesuatu yang tersembunyi di dalam ayat yang ketiga iaitu "wa Rabbuka Fakabbir". Jika diteliti tulisannya seperti di bawah, ianya adalah satu istilah sastera yang dinamakan "PALINDROM" (Palindrome). Bilamana jika dieja dari kanan ke kiri dan kiri ke kanan menghasilkan bunyi yang sama.
Begitulah antara keindahan sekelumit kecil daripada keseluruhan isi Wahyu Ilahi yang diturunkan kepada kita melalui utusan akhir zaman Muhammad S.A.W. Seharusnya kita bersyukur kerana mesej-mesej yang diturunkan sejak 1403 tahun yang lampau masih boleh kita baca serta terpelihara sebagaimana pertama kali ianya diturunkan; malahan sesungguhnya sebagai panduan kita di dalam mengharungi hidup di dunia ini. Jika di zaman ini setiap gajet yang dikeluarkan mempunyai MANUAL penggunaannya... maka kita sebagai ciptaan ALLAH yang hebat, adalah tidak terkecuali disertakan MANUAL dan tatacaranya. Ianya adalah al-Quran al-Karim.
والله أعلمُ بالـصـواب
Ulasan
Catat Ulasan
Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.