Anda tanya, saya dah lama nak jawab. Tapi...
Susahnya jadi cikgu...
Menjadi guru bukanlah mudah. Pelajar sering menganggap guru adalah serba tahu. Hakikatnya guru juga sebenarnya masih belajar, perlu belajar dan terus belajar. Banyak persoalan-persoalan umum kadangkala ditanya oleh pelajar membuatkan guru agak kaget untuk menjawab. Saya sebagai seorang guru juga tidak terkecuali. Sebagai contoh bukan sekali saya ditanya tentang mengapa perlu umat Islam tidak membenarkan penganut Kristian di Malaysia (Ya .kerana yang beria-ia benar nak gunakannya adalah di Malaysia...) menggunakan perkataan ALLAH? Ditanyakan juga apa bezanya ALLAH yang disembah oleh umat Islam dan Kristian? Berat juga hendak menjawabkan?
Sudah lama juga ingin saya menulis mengenai isu ini iaitu semenjak ia mula dibincangkan secara umum. Namun saya pendamkan sahaja kerana pada fikiran saya masyarakat adalah matang untuk berfikir. Blog saya pun adalah berkonsep santai dan pengkisahan peribadi. Namun kali ini saya gagal untuk kekal pada konsep asal blog saya. Maafkan saya. Saya pun jarang-jarang menulis atas kesibukan tugas dan pembelajaran. Akan tetapi minat untuk menulis telah kembali setelah salah seorang dari rakan Facebook saya meletakkan pautan pada status beliau yang ada kaitan dengan soalan-soalan dari pelajar saya tadi. Ianya dibincangkan di dalam satu artikel mengenai PLURALISME. Pada saya artikel itu ditulis atas kecenderungan terhadap satu aliran politik; iaitu untuk menjustifikasikan tindakan mereka agar dilihat logik, boleh digunapakai dan benar. Terpanggil saya untuk menjawab persoalan akidah ini serta merasa perlu juga menjelaskan perkara ini buat anak-anak murid saya yang bertanya. Jadi saya berpendapat begini...
RABB AL-A'LAMIN
Sememangnya ALLAH itu Tuhan untuk semua makhluk dan seluruh alam (Rabb al-A'lamin) baik yang mempercayainya atau pun tidak. Jadi sepatutnya sama-samalah kita gunakan nama yang SUCI itu.
Persoalannya adakah kita yakin yang mereka (golongan yang ingin menggunakan perkataan ALLAH itu di dalam bahan bercetak mereka) benar-benar ikhlas menggunakan nama ALLAH itu sebagai menerangkan Tuhan yang mereka sembah? Di dalam surah al-Ikhlas telah diterangkan siapa itu ALLAH iaitu (1) Allah itu satu (Maha Esa) (2) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. (3) Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan.
Namun, sanggupkah mereka mengambil ini sebagai iktikad mereka sebagaimana telah difirmankan kepada mereka suatu masa dahulu melalui Nabi Musa yang berbunyi "Schema Yisrael Adonai Elohenu Adonai Ekhod (Hear O' Israel, the Lord thy God is one God)"? Masihkah mereka mengakui Elohenu (ALLAH) itu Ekhod (AHAD/SATU)?
Itulah asalnya pegangan tauhid mereka. Namun apabila masa berganti masa , dengan hilangnya Nabi Isa dari mereka, di kalangan mereka mula membuat fahaman baru (selepas satu persidangan yang di sebut sebagai First Council of Nicaea) bahawa secara ringkasnya ALLAH itu adalah Tuhan Bapa, Kemudian Ibu (Mariam) dan Anak (Isa).
YANG MANA SATU YANG SATU?
Oleh itu ALLAH mana yang dimaksudkan? Jikalau yang SATU itu, Alhamdulillah... gunakanlah nama mulia itu. Namun kalau yang dimaksudkan ALLAH itu adalah yang mempunyai anak, adalah diharap lebih baik janganlah ianya digunakan. Implikasinya sangatlah besar. Sebagai contoh: Anak-anak kita yang tidak faham mungkin mengatakan apa salahnya mengikut agama Kristian? Mereka pun sembah ALLAH juga?
Yang menjadi isu adalah di dalam penterjemahan artikel-artikel agama Kristian di dalam Bahasa Melayu menterjemahkan LORD/GOD sebagai ALLAH bagi tujuan dakwah. Jadi ini menampakkan ketidakikhlasan mereka menggunakan nama ALLAH itu melainkan untuk mewujudkan kekeliruan dan perbalahan di dalam komuniti umat Islam itu sendiri (sebagaimana sekarang ini). Strategi ini telah diPERINGATkan kepada kita di dalam al-Quran (kalau kita masih berkitabkan al-Quran lah), Surah Ali Imran ayat 118-119.
"InnaALLAHa A'limum bidza tiSSudur" --> Sesungguhnya ALLAH mengetahui segala isi hati.
PERTANYAAN DEMI PERTANYAAN
Kemudian anak-anak kita bertanya lagi... "Daddy .... kenapa ALLAH beza-bezakan atau tak adil pada kita? Orang Kristian boleh minum arak, Islam tak boleh... Orang Kristian boleh pakai skirt, kita orang Islam tak boleh... orang Kristian tak payah solat 5 kali sehari... tapi kita wajib buat... kenapa Daddy? Sedangkan ALLAH yang kita sembah dan mereka sembah adalah sama...?"
Kalau ini terjadi, bukan sedikit bahan rujukan yang perlu kita guna untuk menerangkan perkara ini kepada anak-anak kita. Nak tulis artikel ini pun mengambil tidak sedikit dari masa saya untuk menyiapkan kertas projek sarjana saya.
Justru, janganlah kita terlalu mengikut ketaksuban kita di dalam politik hingga gagal melihat betapa besarnya implikasi itu dan lupa dengan apa yang telah diperingatkan di dalam al-Quran.
Wallahualam.
----
Pada pendapat saya kita (UMAT ISLAM) terlalu banyak beretorik di dalam isu-isu agama hinggakan mereka yang bukan dari kalangan kita membuat sesuatu yang di luar pertimbangan agama kita pun kita nak halalkan. Kita sendiri yang membenarkan ini berlaku atas tujuan mencapai matlamat politik. Berhujah untuk menunjukkan aliran politik kita lebih suci dari aliran yang lain. Sehinggalah pada akhirnya menimbulkan perbalahan sesama kita. Benda-benda kecil kita besar-besarkan dan yang menakutkan adalah menyalah tafsirkan Sirah dan al-Quran bagi menjadikan perkara yang SALAH itu BETUL supaya kita dapat menonjolkan bahawa fahaman politik kita sahajalah yang terbaik dan perlu dipilih. Akhirnya kita sendiri yang rugi. JADI SAYA HARAP para pelajar saya yang bertanyakan persoalan ini berhati-hatilah di dalam mendengar ucapan yang berdegar-degar. Jangan terus terpesona. Perpeganglah pada MANUAL yang kita ada iaitu al-Quran dan rujuk dan bergurulah pada guru agama yang konsisten dan tidak cenderung kepada mana-mana matlamat politik melainkan beliau ikhlas mengikut ajaran suci ISLAM.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.