aL-KisaH Note RM10
Tersebutlah kisah di suatu hari, di hujung minggu di bulan Ramadan. Cikgusir bersama-sama keluarga keluar ke pekan untuk membeli beberapa bahan-bahan untuk membuat biskut. Setelah keluar dari kereta, telefon bimbit berdering, lalu telefon dikeluarkan dari poket seluar. Namun ketika telefon itu dikeluarkan, terikut keluar bersamanya sekeping not RM10.00 lalu terjatuh ke dalam longkang yang berhampiran. "Wahai not RM10.00... dirimu amatlah berharga..." kata Cikgusir dengan penuh emosinya. Maka dengan rela tak rela Cikgusir capaikan juga not RM10 itu dan diletakkan di atas lantai tempat duduk hadapan kereta. Di dalam hati apabila tiba di rumah nanti akan dibasuh dan dikeringkanlah akan not RM10 itu.
Setelah selesai urusan dan tiba di rumah segala barang yang dibeli di bawa masuk. Malangnya not RM10 itu tidak dibawa masuk bersama. Maka tinggallah ia sepanjang hari di dalam kereta. Pabila tiba hari Isnin selepas pulang dari kerja maka teringatlah Cikgusir akan not RM10 itu. Bergegaslah dia untuk mengambil dari dalam kereta yang di bawa oleh isterinya setiap hari ke sekolah. Hampa!.. not RM10 tidak kelihatan... persoalan... kemanakah ia menghilang... maka timbullah syak di hati ianya diambil oleh salah seorang diantara 3 orang zuriat Cikgusir. Setelah berbincang dengan isteri, suspek utama telah dikenalpasti kerana beliaulah yang selalu masuk ke dalam kereta sesudah kelasnya tamat. Kelas beliau tamat lebih awal berbanding abang dan kakaknya kerana beliau menuntut di kelas pra-sekolah. Beliau adalah Dak Kecik.
Sesi Siasatan: (Dilakukan selepas berbuka puasa)
Cikgusir: Adik... sini jap...
Dak Kecik: Ada apa Yah?...
Cikgusir: Ingat tak duit RM10.00 yang ayah letak dalam kereta semalam?
Dak Kecik: Ingat. (ekspresi muka beliau telah mula berubah menjadi 'cuak')
Cikgusir: Mana adik simpan? Mintak sini... Ayah nak pergi beli makanan kucing. Kesian kucing tu dah lapar.
Dak Kecik: Mana ada adik ambik... (sambil buat muka kesian..)
Cikgusir: Ayah tau adik ambik... mintak sini...
Dak Kecik: (senyap)
Cikgusir: Ayah tau adik ambik... mintak sini... (diulang sehingga 7 kali)
Dak Kecik: Adik amik tapi tak de kat adik.... (airmata dah mula keluar)
Cikgusir: Adik bagi siapa? Ke adik pergi beli makanan kat kedai depan sekolah tu?
Dak Kecik: Tak... adik tak beli ... adik bagi kat Y*****.
Cikgusir: Hah! (sambil menahan sabar) kenapa bagi dia? siapa suruh?
Dak Kecik: Tak de siapa suruh. Adik bagi sendiri sebab dia orang miskin.
Cikgusir: Mana adik tau dia orang miskin?
Dak Kecik: Dia cakap...
Cikgusir: (siasatan tamat... dan senyap sebab tak tau nak kata apa dah... dan tiba-tiba teringat salah satu babak yang seakan sama dengan kes ni...) Kes Tutup.
Maka sesi seterusnya diteruskan oleh emak Dak Kecik dengan sesi leteran ber'pitching' tinggi lagi 'continuously' berserta ceramah perdana yang bertajuk "Jangan Mengambil Wang Ibubapa Anda Tanpa Izin"... Hukuman juga telah dijatuhkan dengan diharamkan bermain bunga api buat sementara waktu....
----------------------
Ulasan
Catat Ulasan
Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.