Merentas Denai Masa: Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (Padang Saujana)

Setelah menziarahi Makam Laksamana Bentan Megat Seri Rama, Cikgusir ke destinasi yang seterusnya iaitu makam seorang lagi pembesar Johor Lama yang ditentukan Allah Taala akan nasib anakandanya (Bendahara Tun Habib Abdul Jalil) menyambung pemerintahan sebagai Sultan oleh kerana Sultan Mahmud II pada ketika itu dikatakan tiada meninggalkan zuriat.

Merujuk buku 'Institusi bendahara permata Melayu yang hilang : dinasti bendahara
Johor-Pahang' / susunan Tun Suzana Tun Hj Othman (2002), Bendahara Tun Habib Abdul Majid adalah ayahanda kepada Tun Habib Abdul Jalil yang naik takhta menggantikan Sultan Mahmud II pada tahun 1699.

SEPINTAS LALU

Ketika Sultan Mahmud II masih kecil, Bendahara Tun Habib Abdul Majid memangku jawatan Sultan sehingga Sultan Mahmud II dewasa dan layak memerintah. Tun Habib Abdul Majid kemudiannya mangkat pada tahun 1697 dan digantikan anakanda beliau Tun Habib Abdul Jalil. Apabila berlakunya peristiwa Sultan Mahmud II mangkat dibunuh Laksamana Bentan, negeri Johor Lama tiada waris pengganti terus dari zuriat Sultan. Mengikut adat Melayu, Bendahara boleh naik takhta jika Sultan mangkat tanpa berwaris. Pada tahun 1699 telah menyaksikan adat ini digunapakai buat pertama kalinya di dalam sejarah Kesultanan Melayu. Justru Tun Habib Abdul Jalil dilantik oleh pembesar-pembesar Johor Lama sebagai Sultan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699-1718). Baginda kemudiannya melantik adindanya Tun Mas Anum sebagai Bendahara dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja.

CATATAN INSKRIPSI
Apabila Cikgusir membaca inskripsi pada batu keterangan makam ini, keterangannya agak mengelirukan (tidak tepat?). Diringkaskan ianya menyatakan bahawa Tun Abdul Majid Tun Habab (Habib) adalah Bendahara yang naik takhta selepas kemangkatan Sultan Mahmud II; padahal mengikut catatan sejarah, yang naik takhta menjadi Sultan adalah anakanda beliau yang bernama Tun Abdul Jalil dan bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.

Apapun Cikgusir titipkan juga keterangan pada batu tersebut untuk kita sama-sama menilai ketepatannya. Cikgusir taipkan semula keterangan tersebut secara 'verbatim'...

Catatan inskripsi pada batu keterangan di makam ini menceritakan...


"Nama sebenar baginda ialah Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab (Habib) Padang Saujana Johor. Beliau menjadi bendahara semasa zaman Sultan Ibrahim Shah I dan jawatannya diteruskan semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor ke-II selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang tidak meninggalkan waris. Baginda menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah yang keempat. Baginda telah memindahkan pemerintahan dari Kota Makam Tauhid ke Kota Panchor pada tahun 1700.

Keturunan Bendahara Tun Habab Abdul Majid ini telah memperluaskan lagi kuasa Empayar Kesultanan Johor. Anakanda baginda Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu yang pertma. Keturunannya berterusan sehinggalah ke hari ini. Tunku Tengah, Puteri Sultan Abdul Jalil Shah IV berkahwin dengan Daeng Perani, putera salah seorang dari anak raja Bugis lima saudara yang masyhur keturunannya menjadi Sultan Johor sekarang. Tun Abas, putera Sultan Abdul Jalil Shah IV menjadi Bendahara Seri Maharaja Pahang. Keturunannya menjadi Sultan Pahang hingga ke hari ini. Oleh itu salasilah keturunan raja-raja dan sultan yang memerintah Johor, Pahang dan Terengganu sekarang ini adalah berasal dari Sultan Abdul Jalil Shah IV (Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab (Habib) Seri Maharaja Padang Saujana Johor."
GAMBAR-GAMBAR DI DALAM KOMPLEKS MAKAM BENDAHARA


Makam Bendahara adalah yang berstruktur dengan kelambu kuning.


Makam Bendahara.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kenapa sambung belajar?

Selingkar Kisah...Antara Shakespeare & Ahmad Jais